Saturday, August 21, 2010

Minggu 6: Jurnal Refleksi

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah hari ini sudah 11 hari kita menyambut Ramadhan. Hari ini saya terpanggil untuk menyiapkan tugasan mingguan saya iaitu jurnal refleksi. Rasanya begitu cepat masa berlalu. Rupa-rupanya sudah enam minggu saya menghadiri kuliah Muzik Tradisional di bawah pimpinan En Amran. Sebelum memulakan kuliah pada hari tersebut, En Amran telah menayangkan 4 video dan menyuruh kami meneka apakah jenis muzik tersebut. Video yang dipaparkan ialah video Makyung, Menora dan Mekmulong. Saya tidak mengetahui video Menora dan Mekmulong kerana tidak pernah tahu bagaimana rupa muzik tari tersebut. Tetapi setelah diberitahu oleh Bancha barulah saya tahu.

Pada kuliah minggu enam yang lalu, En Amran telah memberi kuliah mengenai makyung dan kompang. Pengkhususan kuliah pada hari tersebut ialah sejarah Makyung dan Kompang, persembahan Makyung, alat muzik Makyung dan Kompang serta muzik Makyung dan Kompang.



Makyung berasal dari Patani, kemudian tersebar luas di Semenanjung Malaysia, Medan, dan Kepulauan Riau-Lingga di Indonesia. Terdapat dua tujuan Makyung dipersembahkan iaitu untuk ritual dan yang kedua adalah untuk persembahan. Sekiranya untuk ritual, ia dipersembahkan melalui Main Puteri yang bertujuan untuk sembuhkan penyakit. Ia sebagai sembah guru dan aras panggungnya sama dengan aras tanah. Manakala jika hanya untuk persembahan pula lantai panggung didirikan beberapa kaki dari atas tanah dan beratap serta ruang berlakonnya di tengah-tengah panggung. Makyung merupakan bentuk seni lakon yang kuno dan ia telah diiktiraf oleh UNESCO.




Kedudukan persembahannya adalah dalam bentuk bulatan. Pemain rebab merupakan ketua. Di dalam Makyung terdapat watak-watak seperti Pak Yung, Mak Yung, Peran Tua dan Tok Wak. Apa yang paling penting di dalam Makyung ini ialah ia dimulakan dengan mengadap rebab. Ia sebagai simbol penghormatan kepada rebab. Alat muzik ada tiga iaitu sepasang gendang, sepasang tetawak dan sebuah rebab bertali tiga. Serunai, geduk dan canai merupakan alat muzik tambahan. Bentuk dan struktur lagu-lagu Makyung ditentukan dalam sistem gongan. Ia dikawal oleh tetawak. Manakala iramanya menggunakan empat timbre iaitu ' pak, duh, cak dan ting serta menggunakan gaya meningkah.





Kompang pula berasal dari kebudayaan Arab di Asia Barat. Sebelum memasuki topik kompang ini, En Amran telah menayangkan video mengenai kompang farmasi dan kompang selawat. Nama lain bagi kompang ialah dufuf, daff, duff, tar atau bendir. Di Indonesia ia dipanggil terbang atau rebana. Terdapat dua pendapat mengenai sejarah kompang. Pendapat pertama mengatakan bentuknya sama dengan hadrah yang menyerupai kompang yang terdapat di negara Arab. Pendapat kedua pula mengenai lirik lagu yang dimainkan selalunya dalam bahasa Arab. Terdapat beberapa adab dalam permainan kompang iaitu pakaian yang dititikberatkan, tidak boleh menelentangkan kompang, tidak boleh melambung kompang, dan tidak boleh meletakkan arah kulit muka kompang ke lantai.




Bahagian yang penting dalam alat muzik kompang ialah belulang yang diperbuat daripada kulit kambing betina dan baluh daripada kayu nangka. Fungsi kompang adalah untuk mengiringi aktiviti vokal seperti nyanyian solo atau kumpulan secara ensemble, mengarak pengantin, kanak-kanak berkhatan dan upacara rasmi yang melibatkan pembesar. Selain itu, ia untuk meransang semangat pasukan dan juga untuk pertandingan paluan kompang dan kompang farmasi. Terdapat beberapa jenis kompang iaitu kompang Hadrah, kompang Johor/Jawa, kompang Eizhar dan kompang Kelalang.

Kompang boleh didapati dalam saiz 30cm, 32.5cm, 37.5cm, dan 40cm. Ia mengikut peringkat umur. Kompang boleh dimainkan secara berdiri atau duduk. Kompang menghasilkan dua bunyi secara asasnya iaitu 'pak' dan 'bung'. Terdapat tiga paluan yang digabungkan bagi mengahasilkan paduan bunyi yang harmoni iaitu Melalu, Meningkah dan Menyilang. Dalam persembahan kompang, terdapat tiga bahagian pukulan iaitu pukulan 'mula', pukulan lagu dan pukulan 'mati'. Kompang harus dijaga agar tidak rosak dan tahan lebih lama. Penalaan kompang bertujuan meninggikan ton bunyi kompang dan permukaan kompang ditinggikan dengan menggunakan sedak. Sedak dibuat daripada rotan atau wayar plastik.

Pada penghujung kuliah tersebut, kami telah diberi peluang untuk bermain kompang. Terasa sungguh seronok. Mula-mula kami hanya berdiri sambil memalu kompang, kemudian kami berarak sambil menyanyikan lagu Madu Tiga. Bagi pelajar jurusan Muzik, mereka mungkin sudah biasa, tapi bagi saya dan rakan-rakan dari jurusan Sejarah agak kelam kabut apabila bermain kompang sambil berarak. Walaupun begitu, ia merupakan sesi pembelajaran yang sangat menarik. Banyak pengalaman yang saya perolehi dalam kursus Muzik Tradisional di bawah pimpinan En Amran. di samping saya mempelajari mengenai muzik tradisional, saya juga ada belajar bermain alat-alat muzik tradisional dan yang menariknya saya juga turut belajar membuat blog. Terima kasih En Amran kerana memberi kami ilmu dan pengalaman yang cukup berharga sepanjang kursus ini.

Wa'salam...

1 comments:

Damiana on August 22, 2010 at 8:40 PM said...

Assalamualaikum wbt Mia,

Walaupun agak kelam-kabut namun tahniah saya ucapkan!
Tahniah kerana walaupun anda bukanlah pelajar daripada seni muzik namun anda berani untuk mencuba masuk kedalam dunia seni. Satu contoh yang baik. Ini dapat dibuktikan anda berminat dalam kursus ini.

Selamt berjaya, teruskan usaha!
Selamt berpuasa...

Post a Comment

 

Blog Pelajar Kumpulan A

Blog Pelajar Kumpulan B

Blog Pelajar Kumpulan C

SMP2252 UMAIRAH Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template