Tuesday, September 28, 2010

Minggu 9: Jurnal Refleksi

Assalamualaikkum w.b.t.

Pada kuliah yang lalu, Profesor Dr Hassan serta beberapa pemain muzik UPSI telah diundang untuk menunjukkan demo muzik wayang kulit. Beliau juga turut memberikan sedikit penerangan tentang alat muzik yang dimainkan, dan dipanggil sebagai apa di negara-negara lain. Sebagai contohnya, beliau menerangkan tiga jenis serunai iaitu yang digunakan di dalam wayang kulit ialah serunai anak dan ibu manakala serunai yang digunakan dalam silat ialah serunai nyanyi.



DEMO PROFESOR DR HASSAN BERSAMA EN AMRAN DAN PEMAIN MUZIK

Nasib baik En Amran telah memberi kuliah mengenai wayang kulit, jika tidak pasti saya tidak tahu apa-apa mengenai alat muzik yang disebut oleh Profesor Dr Hassan. Selain itu, beliau juga turut memberi penerangan tentang penceritaan di dalam wayang kulit. Menurut beliau, keunikan di dalam muzik wayang kulit ini ialah tingkahnya.

Setelah hampir satu jam beliau bersama pemain-pemain muzik yang lain membuat demo, maka pembentangan yang dilakukan pada hari itu dimulakan. Pembentangan yang dilakukan pada hari tersebut ialah mengenai Makyung. En Amran telah memberi kuliah mengenai Makyung sebelum ini. Jadi, banyak juga perkara yang telah saya ketahui.

Set induksi yang dilakukan oleh kumpulan pembentang sangat menarik. Mereka mengajar kami beberapa gerakan dalam Makyung. Sangat sukar rupa-rupanya. Jika dilihat di video atau kaca televisyen ia seperti mudah untuk ditarikan, tetapi ternyata sangkaan saya tersilap. Silap haribulan kaki boleh terkehel.

Kelas pada hari itu habis lewat daripada kebiasaan. Minta maaf terlebih dahulu, sebenarnya, pembentangan pada hari itu agak membosankan dan saya tidak berapa faham apa yang ingin disampaikan oleh pihak pembentang. Mungkin kerana faktor bahasa yang digunakan. Saya harap, kumpulan pembentang dapat memperbaiki bahasa kamu pada masa akan datang. Kita sebagai bakal guru perlu menguasai bahasa Melayu khususnya, kerana kita akan mengajar dan kefahaman pelajar amat penting.

Sekian.
Teruskan Membaca...

Tuesday, September 7, 2010

Minggu 8: Jurnal Refleksi

Asslamualaikum w.b.t....

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Lagi dua hari sahaja kita akan menyambut hari raya Aidilfitri yang mulia ini. Namun begitu, tanggungjawab seperti biasa perlu dilaksanakan. Jurnal refleksi yang perlu dilakukan selepas setiap kuliah tidak saya lupakan. Pada minggu 8 yang lalu kumpulan pembentangan adalah berkisar mengenai Menora. Ingin saya jelaskan sekali lagi bahawa sebelum menjalani kursusu Muzik Tradisional ini saya memang tidak pernah mendengar mengenai Menora apatah lagi mengetahui sejarah dan bagaimana terciptanya menora dan apa itu menora. Alhamdulillah kini saya telah mengetahui serba sedikit mengenai Menora setelah diperjelaskan lagi oleh kumpulan pembentangan Menora. Tahniah diucapkan kepada semua pembentang atas kerjasama dan persembahan yang telah kamu lakukan.

Semasa minggu ke-8, hanya satu kumpulan sahaja yang membuat pembentangan. Hal ini kerana En Amran mengatakan bahawa masa tidak cukup untuk membuat 2 pembantangan dan mungkin juga kerana ia memerlukan penjelasan yang lebih disebabkan pengetahuan tentang Menora ini boleh dikatakan tidak sampai 10% pun. Terasa rugi sekiranya kita sebagai rakyat Malaysia tidak mengetahui khazanah kebudayaan yang ada di negara kita ini.

Pembentangan pada hari itu boleh dikatakan hangat kerana banyak persoalan yang diutarakan oleh para pelajar dan juga En Amran sendiri. Kumpulan tersebut telah mengedarkan keratan keratan akhbar dan juga maklumat-maklumat mengenai Menora. Terdapat keratan akhbar yang telah berusia 20 TAHUN. Pembelajaran pada hari itu sangat menarik.




Tarian Menora ialah sejenis drama tradisional Melayu yang dikatakan dipengaruhi oleh seni drama Siam dan telah menjadi popular di negeri Perlis, Kelantan dan Kedah. Tarian ini mempunyai pakaian yang tersendiri. Terdapat perbezaan yang dapat dilihat samada menora tersebut Siam ataupun Melayu. Iaitu melalui bentuk kostum yang dipakai di badan dan di kepala.





Teruskan Membaca...

Monday, August 30, 2010

Minggu 7: Jurnal Refleksi

Assalamualaikum dan salam muhibah..

Seperti biasa, setiap minggu saya perlu membuat jurnal refleksi sebagai salah satu tugasan yang perlu saya lakukan dalam kursus muzik tradisional ini. Alhamdulillah...sudah masuk minggu ke tujuh. Bermula pada minggu ke tujuh menandakan bermulanya minggu pembentangan. Pada kuliah tujuh yang lepas, kumpulan saya iaitu kumpulan kuda kepang, dan juga kumpulan keroncong telah membuat pembentangan. Tahniah diucapkan kepada semua pembentang di atas kejayaan menyiapkan tugasan yang diberikan dengan baik sekali.

Di sini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ahli kumpulan kuda kepang yang lain iaitu Nurulliyana, Shaafri, Eddy, Lubna dan Nursuhadah kerana telah memberikan kerjasama dan komitmen yang amat baik dalam menyiapkan tugasan blog dan power point. Tahniah!

Pembentangan kumpulan keroncong memberi pendedahan yang jelas kepada saya. Pengkhususan dalam cara permainan dan demonstrasi yang ditunjukkan oleh pelajar jurusan muzik amat menarik. Banyak istilah-istilah yang digunakan tidak pernah saya dengari seperti pizzicato. Evolusi yang berlaku dalam keroncong dari segi alat yang akhirnya kini ada tujuh alat iaitu violin, seruling, gitar, cuk, cak, cello dan double bass. Selain itu, muncul beberapa jenis keroncong seperti keroncong langgam, keroncong asli, keroncong extra dan jug stambul. Terdapat perbezaan bentuk dalam setiap jenis keroncong tersebut. Kerjasama yang diberikan oleh senior-senior Muzik terhadap kumpulan ini amat menarik perhatian saya. Perkongsian ilmu sebegini dapat mendatangkan faedah kepada semua di samping mengeratkan silaturrahim di antara junior dan senior..InsyaAllah..

Sememangnya saya amat meminati muzik keroncong. Mungkin kerana pendedahan keluarga saya menyebabkan saya amat meminati muzik ini. Pukul 10 malam hingga 2.oo pagi di radio Johor, best 104.10 sering menjadi pilihan saya. Sejak dibangku sekolah lagi, saya sering dicemuh kerana menyanyikan lagu-lagu keroncong, kawan-kawan saya akan mengatakan 'kau dah takde lagu lain ape nak nyanyi?'..tp itu tidak mematahkan minat saya terhadap muzik keroncong. Di UPSI juga saya pernah mencuba nasib dalam ujibakat keroncong tapi tak berjaya. Sekiranya ada lagi peluang sebegitu saya tidak akan jemu untuk mencuba nasib kerana minat yang sangat mendalam terhadap keroncong. Pernah juga saya mengikut latihan keroncong yang dimainkan oleh senior-senior Muzik UPSI di bawah pimpinan En Azman kerana ingin belajar teknik-teknik yang betul untuk menyanyikan lagu-lagu keroncong, tetapi disebabkan malu dan tidak mempunyai rakan di situ, saya cuma pergi dua kali sahaja.huhuhuhu...

Keindahan muzik keroncong yang mendamaikan sangat memberi ketenangan kepada saya apabila mendengarnya. Antara lagu yang mejadi kegemaran saya ialah Jangan Ditanya, Mahameru, Layu Sebelum Berkembang, Benggawan Solo, Mariam Manis, Selendang Sutera dan banyak lagi.

Saya amat berharap agar muzik keroncong ini berkembang mekar dan tidak akan ditelan zaman dan agar kerajaan negeri Johor memperbayak lagi inisiatif untuk mendedahkan muzik keroncong ini ke seluruh Malaysia khususnya. Amin...

Wa'salam



JANGAN DITANYA




DI BAWAH SINAR BULAN PURNAMA
Teruskan Membaca...

Saturday, August 21, 2010

Minggu 6: Jurnal Refleksi

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah hari ini sudah 11 hari kita menyambut Ramadhan. Hari ini saya terpanggil untuk menyiapkan tugasan mingguan saya iaitu jurnal refleksi. Rasanya begitu cepat masa berlalu. Rupa-rupanya sudah enam minggu saya menghadiri kuliah Muzik Tradisional di bawah pimpinan En Amran. Sebelum memulakan kuliah pada hari tersebut, En Amran telah menayangkan 4 video dan menyuruh kami meneka apakah jenis muzik tersebut. Video yang dipaparkan ialah video Makyung, Menora dan Mekmulong. Saya tidak mengetahui video Menora dan Mekmulong kerana tidak pernah tahu bagaimana rupa muzik tari tersebut. Tetapi setelah diberitahu oleh Bancha barulah saya tahu.

Pada kuliah minggu enam yang lalu, En Amran telah memberi kuliah mengenai makyung dan kompang. Pengkhususan kuliah pada hari tersebut ialah sejarah Makyung dan Kompang, persembahan Makyung, alat muzik Makyung dan Kompang serta muzik Makyung dan Kompang.



Makyung berasal dari Patani, kemudian tersebar luas di Semenanjung Malaysia, Medan, dan Kepulauan Riau-Lingga di Indonesia. Terdapat dua tujuan Makyung dipersembahkan iaitu untuk ritual dan yang kedua adalah untuk persembahan. Sekiranya untuk ritual, ia dipersembahkan melalui Main Puteri yang bertujuan untuk sembuhkan penyakit. Ia sebagai sembah guru dan aras panggungnya sama dengan aras tanah. Manakala jika hanya untuk persembahan pula lantai panggung didirikan beberapa kaki dari atas tanah dan beratap serta ruang berlakonnya di tengah-tengah panggung. Makyung merupakan bentuk seni lakon yang kuno dan ia telah diiktiraf oleh UNESCO.




Kedudukan persembahannya adalah dalam bentuk bulatan. Pemain rebab merupakan ketua. Di dalam Makyung terdapat watak-watak seperti Pak Yung, Mak Yung, Peran Tua dan Tok Wak. Apa yang paling penting di dalam Makyung ini ialah ia dimulakan dengan mengadap rebab. Ia sebagai simbol penghormatan kepada rebab. Alat muzik ada tiga iaitu sepasang gendang, sepasang tetawak dan sebuah rebab bertali tiga. Serunai, geduk dan canai merupakan alat muzik tambahan. Bentuk dan struktur lagu-lagu Makyung ditentukan dalam sistem gongan. Ia dikawal oleh tetawak. Manakala iramanya menggunakan empat timbre iaitu ' pak, duh, cak dan ting serta menggunakan gaya meningkah.





Kompang pula berasal dari kebudayaan Arab di Asia Barat. Sebelum memasuki topik kompang ini, En Amran telah menayangkan video mengenai kompang farmasi dan kompang selawat. Nama lain bagi kompang ialah dufuf, daff, duff, tar atau bendir. Di Indonesia ia dipanggil terbang atau rebana. Terdapat dua pendapat mengenai sejarah kompang. Pendapat pertama mengatakan bentuknya sama dengan hadrah yang menyerupai kompang yang terdapat di negara Arab. Pendapat kedua pula mengenai lirik lagu yang dimainkan selalunya dalam bahasa Arab. Terdapat beberapa adab dalam permainan kompang iaitu pakaian yang dititikberatkan, tidak boleh menelentangkan kompang, tidak boleh melambung kompang, dan tidak boleh meletakkan arah kulit muka kompang ke lantai.




Bahagian yang penting dalam alat muzik kompang ialah belulang yang diperbuat daripada kulit kambing betina dan baluh daripada kayu nangka. Fungsi kompang adalah untuk mengiringi aktiviti vokal seperti nyanyian solo atau kumpulan secara ensemble, mengarak pengantin, kanak-kanak berkhatan dan upacara rasmi yang melibatkan pembesar. Selain itu, ia untuk meransang semangat pasukan dan juga untuk pertandingan paluan kompang dan kompang farmasi. Terdapat beberapa jenis kompang iaitu kompang Hadrah, kompang Johor/Jawa, kompang Eizhar dan kompang Kelalang.

Kompang boleh didapati dalam saiz 30cm, 32.5cm, 37.5cm, dan 40cm. Ia mengikut peringkat umur. Kompang boleh dimainkan secara berdiri atau duduk. Kompang menghasilkan dua bunyi secara asasnya iaitu 'pak' dan 'bung'. Terdapat tiga paluan yang digabungkan bagi mengahasilkan paduan bunyi yang harmoni iaitu Melalu, Meningkah dan Menyilang. Dalam persembahan kompang, terdapat tiga bahagian pukulan iaitu pukulan 'mula', pukulan lagu dan pukulan 'mati'. Kompang harus dijaga agar tidak rosak dan tahan lebih lama. Penalaan kompang bertujuan meninggikan ton bunyi kompang dan permukaan kompang ditinggikan dengan menggunakan sedak. Sedak dibuat daripada rotan atau wayar plastik.

Pada penghujung kuliah tersebut, kami telah diberi peluang untuk bermain kompang. Terasa sungguh seronok. Mula-mula kami hanya berdiri sambil memalu kompang, kemudian kami berarak sambil menyanyikan lagu Madu Tiga. Bagi pelajar jurusan Muzik, mereka mungkin sudah biasa, tapi bagi saya dan rakan-rakan dari jurusan Sejarah agak kelam kabut apabila bermain kompang sambil berarak. Walaupun begitu, ia merupakan sesi pembelajaran yang sangat menarik. Banyak pengalaman yang saya perolehi dalam kursus Muzik Tradisional di bawah pimpinan En Amran. di samping saya mempelajari mengenai muzik tradisional, saya juga ada belajar bermain alat-alat muzik tradisional dan yang menariknya saya juga turut belajar membuat blog. Terima kasih En Amran kerana memberi kami ilmu dan pengalaman yang cukup berharga sepanjang kursus ini.

Wa'salam...
Teruskan Membaca...

Monday, August 16, 2010

Minggu 5: Jurnal Refleksi

Assalamualaikum w.b.t

Pada kuliah minggu lima yang lalu, saya telah mempelajari perkara berkaitan muzik tradisional gamelan dan caklempong. Apa yang dipelajari pada hari itu ialah sejarah gamelan dan caklempong, jenis-jenis gamelan, alat-alat muzik gamelan dan caklempong, melodi, bentuk dan tekstur muzik tersebut.

Tetapi sebelum itu, En Amran telah menayangkan video gamelan Bali. Di dalam video tersebut jelas menunjukkan terdapat video counting pada pemain alat-alat muzik tersebut. Selain itu, En Amran juga menyelitkan mengenai cara-cara mengajar di dalam kelas. Contoh yang diberi oleh En Amran ialah sama ada secara autokratik ataupun demokrasi. Sekiranya secara autokratik, kuasa sepenuhnya terletak pada tangan guru dan sekiranya secara demokrasi, suasana pembelajaran melibatkan pelajar dan guru. Pelajar boleh memilih dan bertanya soalan serta memberi pendapat mereka semasa proses pembelajaran.






GAMELAN MELAYU








Gamelan terbahagi kepada dua iaitu Gamelan Melayu dan Gamelan Jawa. Gamelan Melayu berketegori muzik bentuk tarian utama. Ia juga disebut Gamelan Terengganu dan lebih dikenali sebagai joget gamelan. Wujud di Istana Riau Lingga. Gamelan ini diperkenalkan ke Pahang ketika pemerintahan Sultan Ahmad Muadzam Shah. Puteri baginda Tengku Mariam telah berkahwin dengan Sultan Sulaiman dan telah membawa gamelan ke Terengganu. Sejak itu bermula identiti muzik gamelan Melayu dan Jawa dipisahkan melalui penciptaan lagu baru dan sistem tuning, instrumentasi dan melodi. Alat-alat gamelan Terengganu mengandungi tujuh alat berikut iaitu gendang, bonang/ keromong, saron barong, saron penerus, gambang, kenung dan gong.






GAMELAN JAWA





Jenis gamelan yang kedua ialah gamelan Jawa. Gamelan Jawa juga berkategori muzik bentuk tarian utama. Ia berasal dari Pulau Jawa Tengah. Keseniannya merangkumi tarian, wayang kulit purwa, dan kuda kepang. Di bahagian selatan Semenanjung Malaysiaberbagai bentuk tarian dan wayang Jawa masih dipersembahkan diiringan gamelan Jawa. Ia boleh didapati di Johor,Selangor dan Wilayah Persekutuan.Gamelan Jawa terdiri daripada 9 alat muzik iaitu gendang, bonang/keromong, demong, saron barung, saron penerus, gambang, kenong, kempol dan gong. Selain itu, terdapat motif corak iaitu seperti ukiran.





MOTIF CORAK







Tekstur gamelan adalah polifoni yang bermaksud gubahan yang mempunyai banyak lapisan suara. Ciri utama muzik gamelan ialah bentuknya yang berulang. Istilah bar atau major dalam gamelan dipanggil sebagai Gatra. Terdapat perbezaan di antara Gamelan Jawa dan Terengganu.






CAKLEMPONG






Manakala Caklempong pula dikenali sebagai telempong, tak lempong atau talempong. Muzik cak lempong ini berasal dari Minangkabau. Ia terdapat di Negeri Sembilan seperti di daerah Lenggeng, Kuala Pilah dan Jelebu. muzik caklempong dimainkan bagi mengiringi tarian lilin, pencak silat, majlis perkahwinan dan keramaian. Alat muzik caklempong ialah bonang. Ia di atur atas dua baris tali yang telah diikat di dalam tepak caklempong. Selain itu ialah Gereteh yang terdiri daripada 15 biji bonang, Tingkah pula terdiri daripada 8 biji bonang, Sauwa juga terdiri daripada 8biji bonang, gendang ibu dan anak, bangsi dan serunai.

Pada akhir pembelajaran pada kuliah lima yang lalu, En Amran telah menyuruh kami pergi ke bilik tradisional 3 dan memainkan alat muzik gamelan. Pelajar-pelajar aliran muzik diminta membantu kami yang bukan aliran muzik bagaimana cara memainkan muzik gamelan. Hari itu merupakan pertama kali saya memainkan alat tersebut. Saya memainkan alat muzik bonang. Memang agak kelam kabut kerana saya tidak menghafal kedudukan boang yang perlu diketuk. Apa-apa pun ia merupakan pengalaman yang paling berharga. Terima kasih En Amran kerana memberi kami peluang memainkan alat muzik tersebut.

Wasalam....
Teruskan Membaca...

Tuesday, August 10, 2010

Minggu 4: Jurnal Refleksi

Assalamualaikum w.b.t dan selamat sejahtera..

pejam celik pejam celik sudah empat minggu saya menghadiri kuliah kursus muzik tradisional yang dipimpin oleh En Amran. Seperti biasa, hari Rabu, pukul 11 pagi merupakan kuliah yang paling saya nanti nantikan. mungkin keran cara pengajaran En Amran yang berbeza dengan pensyarah-pensyarah lain serta suasana pembelajaran yang sangat sempoi dan bersahaja menyebabkan saya lebih berkobar-kobar ingin menghadiri kuliah ini.

Dalam kuliah empat yang lalu, saya telah mempelajari jenis-jenis wayang kulit, alat- alat muzik wayang kulit dan perbezaan yang terdapat antara wayang kulit tersebut. Tiga perkara tersebut merupakan aspek yang sangat ditekankan oleh En Amran. Untuk pengetahuan semua, saya tidak pernah melihat wayang kulit secara langsung. Saya cuma pernah melihat muzik wayang kulit di televisyen. Itu pun cuma beberapa kali sahaja. Dan saya juga tidak tahu terdapat wayang kulit di Johor. Saya ingatkan wayang kulit cuma terdapat di Kelantan. Rupa-rupanya terdapat beberapa negeri di Malaysia yang memainkan muzik wayang kulit seperti Kedah, Perlis, Johor dan Kelantan. Setiap wayang kulit ini terdapat persamaan dan perbezaannya.

Muzik wayang kulit merupakan teater tradisional kuno Malaysia. Ia sejenis hiburan pementasan yang terhasil dari patung yang dibuat daripada kulit lembu atau kerbau atau kambing. Wayang kulit merupakan senia Asia Tenggara merangkumi Thailand, Malaysia dan Indonesia. Terdapat beberapa pendapat kedatangan wayang kulit iaitu sama ada dari India, China ataupun Indonesia. Wayang kulit dimainkan oleh seorang dalang yang perlu menghafal dan mahir dalam hikayat. Lakonan yang dimainkan dalam wayang kulit terdapat nilai-nilai murni. Seni lukis/ukir dalam wayang kulit merupakan satu kesenian khusus yang mempunyai kemahiran dan kesabaran yang tinggi. Terdapat perbezaan seni lukis wayang kulit di Indonesia dengan Malaysia. Patung wayang kulit di Malaysia lebih unik kerana terdapat ciri-ciri patung yang menunjukkan sikap atau simbol kepada seseorang seperti mata besar dan mata sepet.

Terdapat empat jenis wayang kulit iaitu wayang kulit Jawa, Wayang Gedek, Wayang Kulit Melayu dan Wayang Kulit Kelantan. Terdapat perbezaan dan persamaan pada setiap wayang kulit tersebut.

Wayang Kulit Jawa juga dikenali sebagai Wayang Purwa dan ia berasal dari Indonesia. Ia dipersembahkan oleh orang keturunan Jawa di Johor dan Selangor. Wayang kulit ini masih mengekalkan ciri wayang kulit Purwa asli iaitu menggunakan epik Ramayana dan Mahabrata tetapi tidak memperlihatkan pengaruh cerita panji. Patungnya pula menyerupai patung wayang kulit Kelantan tetapi bentuk mata patung berbeza. Wayang gedek pula terdapat di Utara Semenanjung Malaysia. Ia berasal dari Thailand dan menggunakan bahasa Thailand dan tempatan. Patungnya berbeza dengan patung-patung wayang kulit yang lain kerana muka matung berposisi depan. Penceritaannya menerapkan unsur-unsur setempat.





Wayang kulit Melayu pula dipengaruhi oleh Wayang Purwa dari Indonesia. Ia berkembang pada abad ke 19/20 di bawah naungan raja untuk hiburan bangsawan. wayang kulit jenis ini terdapat di Kedah dan Kelantan. Bentuk patng nya pula mengikut stail Paulau Jawa. Penceritaan yang digunakan ialah Epos Mahabrata dan dipengaruhi oleh cerita panji. Patungnya pula boleh digerakkan kedua dua tangannya. Bahasa yang digunakan ialah Bahasa Jawa tetapi diselitkan juga dialek Melayu tempatan. Wayang kulit Kelantan pula sangat popular. Menggubakan epos Ramayana dan menggunakan penceritaan popular seperti cerita Melayu, panji dan tempatan. patungnya pula diukir dalam bentuk mengiring dan kebanyakannya berdiri di atas kenderaan. bahasa yang digunakan pula ialah dialek Melayu Kelantan yang mempamerkan pengaruh Patani.

Dari segi alat muzik juga terdapat perbezaan iaitu wayang kulit Jawa menggunakan set gamelan Jawa, Wayang Gedek pula menggunakan serunai, geduk, gedombak, canang, kesi kecil dan cing manakala wayang kulit Melayu pula menggunakan Gong, canang, mong, kesi, gendang dan rebab. Wayang kulit Kelantan pula menggunakan tetawak, canang, kesi, gedang, geduk, gedombak, mong, serunai dan pemetek.

Secara keseluruhannya, kuliah pada minggu keempat menambah pengetahuan saya mengenai wayang kulit. Terdapat empat jenis wayang kulit di Malaysia dan alat-alat muzik yang digunakan terdapat perbezaan dan persamaan di antara satu sama lain. Patung-patungnya juga berbeza. InsyaAllah selepas ini, saya dapat mengenal pasti jenis wayang kulit dengan melihat ciri-ciri yang terdapat pada patung ataupun daripada bahasa dan penceritaannya.

Wa'salam...
Teruskan Membaca...

Sunday, August 1, 2010

Minggu 3: Jurnal Refleksi

Asslamualaikum wbt...

Pada hari Ahad yang indah lagi permai ini, saya terpanggil untuk melaksanakan tugasan yang telah diamanhkan oleh En Amran iaitu refleksi jurnal. Pada kuliah tiga yang lalu, saya telah mempelajari kaedah klasifikasi muzik tradisional Malaysia, kategori muzik tradisional Malaysia dan ciri-ciri muzik tradisional Malaysia.

Jika dalam kuliah dua, alat-alat muzik hanya dikategorikan dalam kumpulan membranofon, idiofon, aerofon dan kordofon tetapi dalam kuliah tiga, alat-alat muzik ini dikelaskan kepada klasifikasi yang lebih mendalam iaitu dari perspektif adaptasi dan idiosinkretik. Pendekatan yang digunakan oleh En Amran ini seperti pendekatan berasaskan spiral curriculum yang membolehkan kami mengembangkan ilmu sedia adan dan memantapkan lagi pengalaman tersedia. Dengan itu, kami mampu mengikuti pengajaran peringkat demi peringkat, langkah demi langkah, fakta demi fakta yang keseluruhannya secara sistematik dan efektif.

Setelah diterangkan oleh Encik Amran, barulah saya faham bahawa bahawa perspektif adaptional ini merupakan penyesuaian. Dalam konteks tersebut, budaya merupakan organik yang sentiasa berubah. Sebagai contoh, gambus di negeri Arab adalah sama dengan gambus di Malaysia tetapi corak, budaya dan rentaknya adalah berbeza. manakala perspektif idiosinkretik pula ialah mempunyai gaya tersendiri dan sulit. Tiada perubahan tehadap alat muzik tersebut, unsurnya stabil dan berbentuk asal. Contohnya, gambus di Arab dan di Malaysia adalah sama.


Kebanyakan ilmu yang dipelajari dalam kuliah tiga hari itu amat asing pada saya. Terlalu banyak yang saya tidak ketahui mengenai muzik tradisional ini. Contoh alat muzik berperspektif adaptional ialah Ghazal Pathi, Ghazal Johor di Malaysia, Baladi Dance,Ya Zuhur di Arab dan Orkes Gambus di Indonesia. Saya berasal dari Batu Pahat Johor dan saya ingatkan ghazal di tempat yang lain sama seperti ghazal di Johor. Video ghazal Pathi yang dipertontonkan oleh En Amran baru pertama kali saya lihat dan tahu akan kewujudan ghazal seperti itu. Betapa ceteknya ilmu saya megenai muzik tradisional di Malysia ini. Lagu dalam Ghazal Pathi juga dinyanyikan dalam bahasa Arab dan t6erdapat iringan penari yang menari tarian Arab. Penyanyinya juga dipanggil dengan gelaran Ustaz.



Sebelum wujud empat kategori alat muzik Barat iaitu membranofon, idiofon, aerofon dan kordofon, orang Cina telah mengkelaskan alat-alat muzik dengan cara yang lain berdasarkan alat muzik berkenaan dalam lapan kumpulan asas alat muzik iaitu logam, batu, kain, tanah, kulit, labu kering, buluh dan kayu.

Rupa-rupanya dalam alat muzik tradisional terdapat ciri-ciri utama yang terbahagi kepada dua iaitu tradisi besar (budaya klasik/istana) dan tradisi kecil (budaya rakyat). Lima kategori utama muzik rakyat, muzik muzik klasik, muzik sinkretik dan muzik kontemp. Manakala ciri-ciri muzik tradisional Malaysia pula terdapat enam ciri iaitu bentuk seni lakon utama, bentuk tarian utama, ensembel genderang, vokal dan instrumental solo, ensembel sosial popular dan ensembel lain.

Secara keseluruhannya, apa yang saya pelajari dalam kuliah tiga ini ialah mengenai kaedah klasifikasi muzik tradisional Malysia, kategori muzik tradisional Malaysia, dan ciri-ciri muzik tradisional Malaysia.

Dengan menghadiri kusus ini banyak input yang saya perolehi. Bagi menambah ilmu dalam muzik tradisional Malaysia, saya banyak menonton video-video berkaitan muzik tradisional, membaca bahan-bahan berkenaan muzik, dan mendengar genre muzik tradisional.

Wa'salam...
Teruskan Membaca...
 

Blog Pelajar Kumpulan A

Blog Pelajar Kumpulan B

Blog Pelajar Kumpulan C

SMP2252 UMAIRAH Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template